LATAR BELAKANG

MENYUSURI 58 TAHUN MKM




Maktab Koperasi Malaysia (MKM) yang dulunya dikenali sebagai Maktab kerjasama Malaysia telah ditubuhkan secara rasminya pada 13 November 1956. MKM merupakan satu-satunya institusi latihan koperasi di Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk memberi latihan kepada gerakan koperasi dan merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Sepanjang 57 tahun penubuhannya, MKM komited dalam membangunkan modal insan gerakan koperasi. MKM telah melatih ribuan warga koperasi bagi membangunkan dan memacu koperasi dalam menyumbang peningkatan ekonomi. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menyasarkan gerakan koperasi dapat membantu rakyat ke arah berpendapatan tinggi melalui peningkatan aktiviti perniagaan koperasi serta menjadikan sektor koperasi sebagai salah satu penjana ekonomi negara.

Bermula dengan beberapa buah koperasi di Malaysia, kini bilangan koperasi yang ditubuhkan telah meningkat lebih daripada 10 ribu koperasi. Sejak penubuhan MKM, pelbagai kursus telah dikendalikan, yang melibatkan kursus jangka pendek mahupun kursus jangka panjang. Dalam mengjangkau usia setengah abad ini, MKM berbangga dengan graduan kelahirannya yang terus mendapat tempat di semua sektor pekerjaan khususnya di bidang koperasi,  danpeserta kursus jangka pendeknya yang terus memberi impak positif kepada gerakan koperasi pada amnya dan kepada koperasi itu sendiri khususnya.

Bagi memastikan MKM lebih menghampiri golongan sasarannya, MKM telah melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak dengan pembukaan  cawangan di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 1997 dan diikuti dengan Cawangan Sarawak di bandar Kuching pada tahun 1998. Pada tahun 2009 MKM telah membuat inisiatif dengan membuka Cawangan Timur di Bera dan Cawangan Selatan di Johor Bahru pada tahun 2009 manakala Cawangan Utara di Alor Setar pada 2010.

Bagi membolehkan MKM memainkan peranan yang lebih dinamik,MKM telah mengorak langkah untuk meminda Akta MKM. Parlimen telah meluluskan Akta PerbadananMaktab Kerjasama Malaysia (Pindaan) 2011 dan diwartakanperlaksanaannya mulai 1 September 2011. Akta ini merupakanproses transformasi dan penjenamaan semula (rebranding) Maktab Kerjasama Malaysia kepada Maktab Koperasi Malaysia serta untuk memperkasa  dan memperluaskan lagi peranan MKM kepada gerakan koperasi. Pelbagai transformasi telah dibawa bagi memastikan MKM terus berada di paksi yang sebenar dalam memberikan pendidikan dan latihan kepada para koperator. Kini MKM telah mencapai 57 tahun usianya dan ditadbir oleh Ketua Pengarah yang baharu, Dr. Ahmad Zahiruddin bin Yahya Ketua Pengarah yang berwawasan tinggi. Beliautelah meneruskan proses transformasi MKM dengan mengubah wajah MKM 100% ke arah wajah yang baru dengan menstruktur semula barisan pentadbiran seterusnya merancang dengan mewujudkan Institut Koperasi Malaysia (iCoop Malaysia).

Bagi mencapai impian dan harapan tersebut, MKM telah menubuhkan sebuah anak syarikatnya MKM Global Holding dan melalui anak syarikat ini Institut Koperasi Malaysia atau dikenali sebagai iCoop Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober 2013. MKM akan berusaha ke arah menjadikan iCoop Malaysia ke taraf Kolej Universiti Koperasi (KUKom) dan seterusnya menjadi sebuah universiti penuh iaitu Universiti Koperasi Malaysia (UKoM) pada tahun 2024.



Penubuhan iCoop melalui penjenamaan semula Pusat Antarabangsa dan Pendidikan Tinggi merupakan langkah pertama bagi proses menaik taraf peranan MKM dan seterusnya merealisasikan impian bagi menubuhkan Universiti Koperasi Malaysia 2024. iCoop Malaysia berperanan sebagai pemangkin kepada gerakan koperasi bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang berasaskan koperasi untuk memastikan koperasi terus mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi. Selain itu, Kolej universiti ini juga disasarkan akan menjadi salah satu pusat rujukan perkoperasian serantau oleh para sarjana dalam mahupun luar negara. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi bilangan penyelidikan dalam bidang koperasi dan  mendedahkan peranan gerakan koperasi kepada masyarakat umum. Secara tidak langsung gerakan koperasi juga akan berada dalam arus perdana sektor pendidikan negara.



MKM CAWANGAN UTARA, ALOR SETAR KEDAH





Bertepatan dengan fokus MKM iaitu  “Menerajui kecemerlangan dalam latihan dan pendidikan koperasi” kini MKM telah melebarkan sayapnya di negeri  jelapang padi, Negeri Kedah Darul Aman. Cawangan ini telah memulakan operasinya   pada 3 Januari 2010. Bermula tanggal tersebut, secara rasminya cawangan ini dikenali sebagai MKM Wilayah Utara. Pada tahun 2011, MKM Wilayah Utara telah ditukar nama kepada MKM Cawangan Utara selaras dengan Pindaan Akta MKM.
Bangunan empat tingkat milik Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad telah dijadikan penempatan pejabat, bilik kuliah dan makmal komputer bagi program-program yang bakal dianjurkan. MKM Cawangan Utara ini menjalankan kursus-kursus jangka pendek bagi zon utara merangkumi beberapa buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan Perak Utara. Penubuhan MKM Cawangan Utara ini bertujuan untuk memudahkan koperasi menghadiri kursus serta menjimatkan jarak dan masa ke MKM induk. Sehingga 31 Disember 2013, seramai 9,719 orang peserta telah mengikuti kursus-kursus yang telah dianjurkan oleh MKM Cawangan Utara dalam pelbagai bidang merangkumi perundangan koperasi, perniagaan, akaun dan ICT.

No comments:

Post a Comment